Friday 20 May 2011

PAS : Membina Wajah Baru Yang Diyakini Rakyat

Oleh :
al faqir Walid asy-Syathari

Selawat dan salam ke atas engkau ya Habibullah sallaLlahu âlalaihi wassalam


Hari isnin adalah kelahiran mu sehingga disunatkan berpuasa padanya demi menunjukkan kesyukuran dengan kelahiran diri mu. Tiada yang dapat menghalang cahaya mu ketika lahir sehingga segala kegelapan yang ada di bumi ketika itu telah hilang disinari cahaya terang benderang. Semua syaitan menjadi hura hara kerana silauan cahaya dan bertanya antara mereka apakah yang berlaku pada alam ini. Sehingga kini para pencinta mu terus mengadakan majlis meraikan hari kelahiran mu demi menyatakan cinta, yang dengan cinta itu akan dapat membentengi diri mereka daripada kerosakan zaman yang mengajak kepada penyembahan kebendaan dan hawa nafsu.


Wahai saudaraku,


Kekuasaan Allah adalah penentu bagi segala kehidupan insan dan alam. Tiada suatu pun yang terlepas hatta atom-atom yang berterbangan dalam kekuasaanNya. Maka insan wajib sentiasa muraqabah dan pasrah dengan kehebatanNya, tiada sedikitpun boleh menjadi kebanggaan dan keangkuhan dengan apa yang kita miliki, samada harta atau kuasa kerana segalanya akan lenyap sekelip mata jika ditarik oleh Yang Maha Kuasa dan Hebat.


Malaysia adalah Negara yang kita cintai sebagai tempat kelahiran dan berteduh bangsa kita dengan penuh bahagia dari zaman ke zaman. Perubahan zaman yang berlaku turut membawa perubahan minda dan budaya anak bangsa ini. Keruntuhan akhlak generasi muda kini amat membimbangkan kerana merekalah yang akan menentukan kelangsungan kekuatan bangsa dan Islam dalam menerajui Negara tercinta ini.


Politik juga tiada dapat lari daripada arus perubahan dan akan berlakunya perubahan yang tiada dapat ditahan seiring dengan perubahan minda masyarakat. Apa yang diharapkan, jika berlakunya perubahan politik pada Negara ini, Islam tetap berdaulat dan orang Melayu Islam tetap memimpin dengan lebih hebat, dan memberi kebaikan pada semua rakyat.


Pada hemat saya, umat Islam di Malaysia tiada pilihan melainkan menjadikan PAS sebagai parti sandaran mereka untuk menggantikan UMNO, jika UMNO ditakdirkan tumbang satu masa nanti. Saya tiada melihat kepada isu atau faktor lain yang akan menjadi punca UMNO tumbang, tetapi pada hukum alam yang ditetapkan Allah bahawa tiada yang kekal di alam ini.


Seluruh Asean dan kini dunia Arab telah mengalami pertukaran kerajaan yang mana dahulunya dilihat amat mustahil parti yang memerintah itu akan jatuh. Namun itulah hakikatnya, tiada apa yang mustahil dalam iradah Allah. Apabila Allah berfirman KUN  maka jadilah!, maka akan tumbanglah kerajaan tersebut dengan apa cara sekalipun untuk dijadikan hukum asbab dan musabab.


PAS SEBAGAI PENERAJU & PENGGANTI UMNO


Dalam konteks Malaysia, PAS perlu ke depan dan perlu menjadi parti yang bukan hanya memberi keyakinan pada ahli sahaja tetapi kepada seluruh rakyat, bahawa mereka mempunyai kelayakan untuk menggantikan UMNO. Keyakinan tersebut perlu diwajahkan sekarang dengan barisan kepimpinan yang diyakini dapat membawa kemajuan, kemakmuran, kestabilan, kecekapan, kejujuran, kebijaksanaan, berpegang teguh dengan dasar agama, memelihara perlembagaan sehingga tiada kebimbangan pada masyarakat terutama orang Melayu untuk memilih mereka.


Sehingga kini masih ramai orang Melayu yang tiada memiliki keyakinan kepada PAS untuk menggantikan UMNO, walaupun mereka mengetahui tentang keburukan UMNO dalam mentadbir Negara. Bahkan dalam UMNO sekarang ini, amat sedikit pejuang tulen, ramai merupakan pejuang peribadi dan kroni sahaja dengan matlamat mengumpul kekayaan.


Gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Parti Keadilan dan Pembangunan (Parti AK) pimpinan Recep Tayyib Erdogan di Turki dilihat sangat diyakini rakyatnya untuk membawa negara mereka kepada kemajuan dan keadilan. Manakala bagi PAS pula, masalah utamanya sehingga kini ialah tidak dapat memperlihatkan wajah dan barisan kepimpinan yang mantap untuk memberi keyakinan pada rakyat. Apatah lagi penggabungan dengan Parti Keadilan dan DAP makin menambah kecurigaan dan rasa tidak senang masyarakat Melayu terhadap PAS, menyebabkan mereka terus menjadikan UMNO sebagai pilihan mereka.


Penggabungan ulama dan profesional dalam PAS masih lagi tidak dapat memberi keyakinan khususnya di kalangan masyarakat atas pagar. Ini kerana dilihat golongan agama masih mempunyai kuasa dominan dalam parti.. bukan sahaja pada dasar, malah hala tuju parti ditentukan ulamanya. Ini menyebabkan golongan profesional yang hebat dan berkelayakan untuk memimpin tidak dapat pergi lebih jauh dan akan tersangkut di tengah jalan sahaja akibat budaya kepimpinan ulama yang telah lama diterapkan.


Kepimpinan ulama wajib diteruskan dan tetap menjadi dasar parti, namun ia perlu kepada perubahan agar benar-benar mantap dan memberi kesan besar kepada perjuangan dan keyakinan umum. PAS perlu sentiasa bersedia melakukan perubahan kerana sistem pilihanraya adalah sistem untuk mendapat undi rakyat, bukan semata-mata undi ahli. Jangan hanya mahu mengambil hati ahli dan golongan tertentu sehingga tiada peduli apa yang dikehendaki rakyat.


KRISIS KEPIMPINAN DAN KEYAKINAN RAKYAT


PAS memiliki barisan kepimpinan yang amanah, setia dan ikhlas dalam perjuangan serta pengurusan organisasi yang tersusun dan pengikut yang amat taat. Ianya tiada dimiliki oleh parti yang lain terutama UMNO, Keadilan atau DAP yang sangat diketahui umum. Namun PAS masih belum mampu melonjakkan dirinya agar dilihat sebagai pengganti yang layak menerajui kerajaan jika UMNO tumbang. Sebaliknya, masyarakat melihat pada Anwar Ibrahim yang lebih layak memimpin dimana keyakinan itu turut didokong oleh ramai ahli PAS sendiri.


Ini bermakna PAS mengalami masalah kepimpinan kerana tiada dapat menonjolkan tokoh yang dilihat lebih berwibawa dan berkelayakan berbanding Anwar sebagai pemimpin Negara pada masa depan.


Masyarakat Melayu Islam amat mengharapkan pada PAS dan ramai golongan atas pagar sendiri yang menolak Anwar, walaupun mereka mengakui karisma beliau. Seseorang yang memiliki kepetahan pidato dan mendapat sokongan ramai hingga di peringkat antarabangsa sekalipun, belum tentu ia dapat menjadi pentadbir yang baik. Lihat bagaimana Anwar menguruskan partinya sehingga berlakunya kekecohan yang menyebabkan beberapa Ahli Parlimen, Adun dan para pemimpin serta ahli keluar parti. Setengahnya berpindah ke parti lawan sehingga jatuhnya Kerajaan Perak. Ini memperlihatkan kelemahan beliau dalam menangani permasalahan dalaman partinya.


Modal Anwar setakat ini yang berjaya menutup kelemahannya ialah segala krisis, kekecohan baik pada pimpinan dan bawahan dalam partinya adalah datang dari UMNO, bukan dirinya. Mereka yang keluar adalah mereka yang dibayar sehingga masyarakat berjaya dilenakan daripada melihat kelemahan dirinya. Itulah kebijaksanaan seorang politikus yang hebat dan kehebatan ini memang diperlukan dalam menerajui gerakan pembangkang, namun ia tidak baik untuk menjadi peneraju kerajaan.


Sikap tiada mahu mengakui kelemahan diri walaupun ada ketika dilihat mengakuinya, memberi isyarat bahawa pengakuan tersebut juga adalah satu helah politik dalam mengukuh posisinya. Namun pada hakikatnya tetap tiada perubahan dalam menguruskan parti dan barisan kepimpinannya, malah akan tetap berlakunya krisis yang tiada kesudahan. Ketidakpuasan hati ahli dengan pentadbirannya dalam parti sehingga kini telah membawa pelbagai masalah dan akan terus lebih bermasalah jika diberi mandat untuk mentadbir Negara.


Tiada salah PAS bersama dengan Anwar Ibrahim, namun menyerahkan kepimpinan pada Anwar sebagai PM amat perlu kepada kajian lebih mendalam. Anwar seorang politikus yang boleh bercakap dengan apa jua bahasa, sehingga jika berjumpa makhluk asingpun, nescaya mereka akan terpegun dengan idealisma Anwar Ibrahim.


HARAPAN


Kita yakin bahawa barisan pimpinan PAS sudah cukup memahami situasi ini dan sudah berbincang jalan penyelesaian jangka panjang. Namun apa yang mahu diutarakan ialah PAS perlu membina wajah baru yang diyakini rakyat bermula saat kini. Kepimpinan Tuan Guru Haji Abd. Hadi Awang sebagai Presiden amatlah penting dimana beliau berperanan sebagai seorang murabbi, ayah dan tokoh penyatuan yang dilihat berfahaman sederhana sehingga disukai ramai orang hatta kalangan UMNO sekalipun.


Kita juga amat meyakini Tuan Guru Presiden tidak berminat untuk menjadi PM jika Allah memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat. Namun kita sebagai rakyat jelata ini tetap mahu mengetahui siapakah calon PM daripada PAS jika diberi kemenangan nanti. Ia penting untuk dibuat penilaian agar dapat membina keyakinan rakyat terhadap PAS dalam menerajui Negara.


Kritikan pedas saudara Azmin Ali selaku Timbalan Presiden Parti Keadilan kepada Setiausaha Agung PAS, Haji Mustafa Ali baru-baru ini turut menimbulkan kerisauan jiwa umat Melayu. Jika inilah akhlak pemimpin muda yang akan menerajui Negara bersama dengan PAS, tentunya akan mewujudkan lebih banyak masalah pada masa akan datang.


UMNO tetap akan jatuh walaupun tiada PR sekalipun kerana ia adalah hukum alam yang telah ditetapkan Allah. Alangkah baiknya dalam menunggu kejatuhan tersebut, PAS mengambil manfaat dengan menyusun dan membina wajah sebuah gerakan Islam yang diyakini rakyat untuk menerajui Negara dalam dunia pasca moden. Jika terlalu menumpu untuk menjatuhkan kerajaan tanpa dapat menyediakan barisan dan wajah yang meyakinkan, dibimbangi parti yang mendukung liberalisme akan menjadi peneraju dalam pemerintahan Negara.


Islam wajib berada di atas dan memimpin! Inilah harapan semua pencinta Islam dan rakyat pelbagai kaum yang merindui keadilan.

No comments:

Post a Comment