Sunday 8 May 2011

Mengenal Ilmu Tasauf

Takrif Tasauf[1]

Dari segi bahasa: Ia berasal dari perkataan تصوف . Terdapat beberapa makna dalam kamus arab. Antaranya:

Lafaz tasauf ada kaitan dengan kalimah al suf الصوف  iaitu bulu yang menutup bulu kambing. Disebut bahawa kebanyakan ahli sufi memakai pakaian daripada bulu haiwan.
Lafaz tasauf juga ada kaitan dengan kalimah sofaa  صفا, kalimah ini merujuk kepada makna bersih dari kekotoran. Disebut bahawa tujuan tasauf ialah membersihkan hati dari sifat keji.

Dari segi Istilah: 

هو علم يعرف به أحوال النفس محمودا و مذموما و كيفية تطهيرها من المذموم منها و تحليتها بالاتصاف بمحمودها و كيفية السلوك و السير إلى الله تعالى و الفرار إليه

“Ialah ilmu dikenali akan bicara hal-hal nafsu samada yang mahmudah(terpuji) dan mazmumah(tercela) dan cara-cara membersihkan nafsu dari sifat mazmumah dan menghiasi nafsu dengan sifat mahmudah serta cara perjalanan, pengembaraan menuju Allah Taala ”[2]

Sifat Mahmudah

1-Taubat[3], iaitu menyesal di atas segala dosa yang telah dilakukan.

2-Zuhud, iaitu berpaling hatinya dari dunia meskipun jasadnya memiliki dunia

3-Sabar, menahan diri dari melakukan maksiat mesipun berpeluang melakukannya

4-Tawakal, menyerah diri semata-mata kepada Allah Taala

5-Syukur,iaitu menggunakan nikmat kurniaanNya ke jalan yang diredhai

6-Ikhlas, iaitu membuat atau meninggalkan sesuatu kerana Allah

7-khauf, takut kepada Allah

8-Raja’, sentiasa mengharapkan keredhaan dan keampunan Allah

9-Mahabbah, cintakan Allah dan Rasul melebihi segala-galanya.

10-Redha

Sifat mahmudah ini adalah pakaian orang-orang tasauf. Ketahuilah sifat-sifat ini bukannya boleh dibuat-buat dalam perilaku. Sekiranya kita mencuba untuk bersifat demikian, ia tidak akan bertahan lama. Sifat atau akhlak tersebut akan lahir dengan sendiri jika hati Hati yang telah disucikan hasil tarbiyah dan zikir. 

Berkata arif billah:

التصوف كله أخلاق فمن زاد عليك بالأخلاق زاد عليك بالتصوف

“Tasauf semuanya akhlak, sesiapa yang menambahkan akhlakmu maka dia telah menambahkan tasauf terhadap dirimu”[4]

Dan sesungguhnya sebaik-baik tarbiyah dan zikir dibawah bimbingan seorang guru. 

Sifat Mazmumah

1-Cintakan dunia iaitu meletakkan cinta dunia di hati

2-Tamak iaitu sentiasa merasai tidak cukup dan tidak bersyukur dengan pemberian Allah

3-Ujub, merasa lebih baik berbanding orang lain

4-Ria’, memperilatkan amalan supaya dipuji

5-Takabbur iaitu membesarkan diri dan menghina orang lain

6-Sum’ah iaitu memperdegarkan amalan kepada orang lain supaya mendapat pujian

7-Hasad dengki

Hendaklah kita menuju kepada sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah. Sebagaimana perkataan Imam para Tasauf, Imam Junaid Al Baghdadi:

التصوف استعمال كل خلق سني وترك كل دني

“Tasauf ialah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji dan meninggalkan semua tingkah laku yang rendah lagi keji”[5]


[1] Juga dikenali dengan ilmu tazkiyatul Nafs, Suluk, Penyucian Jiwa, kesufian
[2] Masaail fil Tauhid wa tasauf, Syeikh Abdul Ghani An Nablusi m/s 132
[3] Syarat sah taubat:
1-       Menyesal di atas segala dosa
2-       Meninggalkan dosa tersebut
3-       Berazam tidak akan kembali
4-       Mengemablikan hak-hak makhluk yang dizalimi
5-       Menqadhakan fardhu fardhu yang telah ditinggalkan
[4] Nusratun Nabawiyah, Syeikh mustafa al madani m/s 22
[5] ibid

No comments:

Post a Comment