Wednesday 18 May 2011

Menuntut Ilmu


Dari sudut bahasa ilmu membawa pengertian pengetahuan, kepandaian dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain lagi[1]. Dari segi istilah Ar Raghib mentakrifkan ilmu  sebagai menangkapi sesuatu berdasarkan bentuknya yang sebenar[2].

Ketahuilah bahawa seseorang tidak akan dapat menjalankan kefardhuan dari ketaatan, menjauhi keharaman dari kemaksiatan, apatahlagi ibadah sunat yang berfungsi mendekatkan diri kepada Allah melainkan dengan ilmu. Kerana tuntutan ilmu itu wajib bersesuai dengan sabda Rasulullah SAW:


طلب العلم فريضة على كل مسلم                

Menuntut ilmu itu wajib atas semua orang Islam”[3]


Nabi SAW bersabda:


من سلك طريقا يطلب به علما سهل الله له طريقا الى الجنة       

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, Allah SWT memudahkan kepadanya satu jalan menuju ke syurga


Kepentingan ilmu

Terdapat satu hikayat yang telah di nukilkan oleh As Syeikh Ali Bin Abdur Rahman Al Kalantani, di masyhurkan dengan Tok Wan Ali Kutan di dalam kitabnya, Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub. Berkata Syeikh:

“bahawasanya dua orang bersaudara, adalah salah seorang daripada keduanya ‘abid(ahli ibadah) yang berbuat ibadah, dan yang satu lagi itu melebihi-lebihi atas dirinya dengan syahwat keinginan nafsunya. Dan adalah yang abid itu cita hendak melihat iblis, maka pada satu hari melihat ia akan iblis dan berkata iblis baginya:” hai menyesal atas engkau, telah engkau sia-sia akan umur engkau empat puluh tahun di dalam menegahkan diri engkau dan memenat akan badan engkau, padahal tinggal lagi umur engkau empat puluh tahun. Maka ikut olehmu akan nafsu engkau pada segala keinginannya. “ maka berkata yang abid pada dirinya: “ Aku hendak turun pergi muafakat dengan saudaraku di bawah itu pada makan dan minum, pada segala yang lazat-lazat pada masa dua puluh tahun, kemudian aku taubat dan aku berbuat ibadah pada dua puluh tahun yang tinggal lagi.” Maka turun ia kepada saudaranya atas niat itu. Dan saudaranya yang bawah jaga ia daripada mabuk arak, maka ketahui ia akan dirinya di dalam kelakuan yang sangat jahat. Sungguhnya telah kencing ia tas kainnya dan badannya, padahal ia tercampak atas bumi lagi dalam kelam. Maka berkata ia pada dirinya: “telah aku membinasakan umurku di dalam maksiat dan saudaraku dalam taat dan ibadah, maka aku masuk neraka dan ia masuk syurga”. Kemudian berniat ia hendak taubat dan hendak berbuat ibadah serta saudaranya. Maka naik ia kepada saudaranya atas niat taat dan ibadah, dan turun saudaranya atas niat maksiat. Maka tergelincir kakinya jatuh atas saudaranya, maka mati kedua-duanya. Maka di hasyarkan(dihimpunkan) ‘abid atas maksiat dan di hasyarkan(di himpunkan) yang ashi(yang berdosa) itu atas niat taat dan ibadah."

Demikianlah bahawa orang yang berilmu tidak mudah ditipu syaitan, tetapi sebaliknya orang yang tidak berilmu sangat mudah ditipu syaitan. Sesungguhnya syaitan lebih gerun terhadap orang berilmu dari ahli ibadah tanpa ilmu. Jelas sekali, bahawa kita perlu memiliki ilmu dan melakukan ibadah. Ilmu lebih utama di dahulukan, ertinya wajib belajar ilmu terlebih dahulu yakni ilmu ibadah. Sebab ilmu itu asas petunjuk jalan. Oleh hal demikian, dari Muaz bin Jabal r.a,  Baginda SAW bersabda:

العلم إمام العمل و العمل تابعه          

“Ilmu adalah Imam dan amal adalah makmumnya[4]



[1] Syeikh Uthman bin syeikh salim, kamus dewan edisi baru, dewan bahasa dan pustaka, kuala lumpur 1989 ,/s 189
[2] Ar Raghib Al Asfahani, mufradat Al Quran, Dar Al Qalam, Damsyiq, Tanpa Tahun m/s 580
[3] Hadis riwayat Imam Baihaqi
[4] Hadis Riwayat Thobroni dan Ibn Abdil Barri

No comments:

Post a Comment