Saturday 7 May 2011

Hakikat Tauhid

Secara hakikatnya, Pelajaran ilmu Tauhid terbahagi kepada tiga bahagian:

1-      Tauhid Iqtikadiah: yakni berpegang dengan dalil nas dan akal. Ia sebagai pengesahan makrifah berdasarkan Aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Namun amatlah bahaya jika sekadar  berhenti pada martabat ini, kerana amat mudah seorang itu tergelincir kepada fahaman Qadariah dan fahaman Muktazilah. Misalnya dari sudut ilmu mereka mengatakan segala sifat Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayat takluk pada sifat wahdaniyah Allah SWT tetapi di sudut pengamalan tiada berlakunya penghayatan tersebut samada dalam ibadah atau gerak laku kehidupannya.

2-      Tauhid Syuhudiah: Yakni mengenal Allah dengan jalan cahaya mata hati hingga ia melihat segala gerak geri dan alam ini sentiasa dalam takluk sifat wahdaniyah Allah SWT. Pada martabat sifat ini masih melihat wujud diri tapi ia melihat dalam syuhudiah segalanya takluk dalam kekuasaan Allah. Ia hanya boleh di capai dengan bimbingan seorang guru mursyid, di mana tauhidnya sudah berpindah dari ilmu kepada penghayatan.

3-      Tauhid Wujudiah: Yakni mengenal Allah sehingga merasai kehilangan wujud dirnya. Ia disebabkan oleh kuatnya cahaya syuhudiahnya memandang kepada sifat  Allah, sehingga seolah-olah tiada baginya lagi baginya lagi sifat melainkan hanya Allah semata-mata. di dalam perasaannya, dirinya zahir dan batin adalah milik Allah, tiada miliknya sehingga merasai kehancuran dirinya. Walapun pada zahirnya ia melakukan segala sifat kemanusiaan, ada usaha dan ikhtiar tetapi dalam perasaan batinnya hanya Allah jua.

Tauhid Wujudiah juga dikenali dengan wahdatul wujud. Adapun wahdatul wujud terbahagi kepada dua:

Pertama: Wahdatul wujud yang haq yakni merasai hanya Allah semata-mata dalam perasaan dan pandangannya, bukan mengiktikadkan dirinya menjadi Allah.

Kedua: Wahdatul wujud yang mulhid(sesat) iaitu mengiktikadkan dirinya, alam adalah satu jua yakni dia adalah penjelmaan Allah, tiada baharu hanya qadim semata-mata. ia juga bermaksud “asal Allah kembali menjadi Allah” dan sebagainya.[1]
 
Untuk memahami wahdatul wujud ini, penulis mengandaikan satu anologi:

Andaikan kita mempunyai seoarng kawan bernama Zaid. Kita tahu bahwa kawan kita memandu kereta Proton Waja dengan nombor plat tertentu. Satu hari tatkala kita memandu, keretanya memintas kita tanpa sedari, kita menyebut namanya “Eh Zaid”. Penulis percaya kita pernah melalui hal demikian. Apakah tafsiran dari cerita tadi?

1-      Golongan pertama memahami bahawa zaid adalah zaid dan kereta tetap kereta walapun mengucapkan “zaid” ketika kereta zaid melintas. Bukan dimaksudkan kereka itu adalah zaid.

2-      Golonga kedua memahami dari perkataan “eh zaid” bermaksud zaid dan kereta adalah orang yang sama.

Kesimpulannya, peristiwa tersebut adalah benar dan kita kerap kali melaluinya. Punca kesalahan adalah orang silap memahami dalam mentafsirkan perkataan kita. Kita tidak pernah mengatakan zaid adalah kereta atau kereta adalah zaid. Tersasul menyebut nama zaid ketika keretanya melintas adalah pengzahiran ingatan seorang sahabat kepada sahabatnya. 

Menurut Al Alim Al Allamah Syeikh Abdul Halim Mahmud[2], perkara sebenar yang ingin di ungkapkan oleh golongan sufi berkenaan dengan wahdatul wujud adalah dengan makna Al Wujud Al Wahid iaitu wujud-dengan makna hakiki –adalah milik Allah SWT. Para penentangnya memahami wahdatul wujud dengan maksud Wahdah Al Maujud atau Al Maujud Al Wahid-wujud segala yang ada(Tuhan dan Makhluk) adalah satu. Perkara sebenar yang ingin dinyatakan oleh para sufi ialah adalah sesungguhnya Qayyumiyyah(peneguhan, pemeliharaan) itu adalah bagi Allah semata-mata[3]


[1] Tarekah syathariah, adab, amalan dan makrifah, al faqir ilallah  Ibrahim mohamad m/s 7
[2] Dilahirkan di Desa Abu Hamad, Selatan Kaherah Tahun 1910. Menjawat jawatan Syeikhul Azhar pada Tahun 1973
[3] Mencarik ilusi Menggapai Realiti, Wacana Tasauf, Tarekah & Pemikiran Islam Imam Ahmad Al Sirhindi m/s 83

No comments:

Post a Comment