Saturday 16 July 2011

Syarah Aqidatul Awam, As Syaikh Al Alim A s Sayyid Ahmad Al Marzuki Al Maliki


Berkata Nazhim, As Syaikh Al Alim As Sayyid Ahmad Al Marzuki Al Maliki:

أبدأ باسم الله و الرحمن و بالرحيم دائم الاحسان
Aku memulai dengan menyebut nama Allah dan yang maha pengasih dan maha penyayang yang berterusan berbuat kebaikan.

[Syarah]

Ketahuilah sesungguhnya, kebanyakan kaum Asyairah berpendapat, الاسم عين المسمى :
nama itu adalah ain(dzat) bagi sesuatu yang di namakan.
Allah Taala berfirman:

سَبِّحِ ٱسۡمَ رَبِّكَ ٱلۡأَعۡلَى
Sucikanlah nama Tuhanmu…”(Surah al A’la:1)

Dan Allah Taala jua berfirman:

مَا تَعۡبُدُونَ مِن دُونِهِۦۤ إِلَّآ أَسۡمَآءً۬
Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya(menyembah)nama…”(Surah Yusuf:40)

Yang jelas, bahawa tasbih dan ibadah adalah di tujukan kepada dzat. Kata qil(pendapat lemah):


الاسم غير المسمى
“Nama bukan sesuatu yang dinamakan”

Bersandarkan firman Allah Taala:

لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ
”…..Dia mempunyai al asma al husna(nama-nama yang baik)”(Surah Thoha:8)

Mesti ada perbezaan antara sesuatu dan sesuatu yang di sandarkan atau di namakan. Dan kerana berbilang nama serta tunggalnya sesuatu yang di namakan yakni Allah itu esa tapi namaNya ada 99.
Jika nama adalah ain(dzat) sesuatu yang dinamakan, maka pastilah terbakar mulut orang yang berkata “api..api” dan benda mudarat lain.

Yang tahqiq adalah bahawa sesungguhnya jika nama yang di maksudkan atau dikehendaki sebagai lafaz maka pasti ia bukan sesuatu yang dinamakan yakni tanpa ada perbezaan pendapat. Jika nama yang dimaksudkan sebagai apa yang difahami darinya, maka ia(nama) adalah ain(dzat) bagi sesuatu yang dinamakan.

Lafaz Allah, الله

Ketahuilah, bahawa makna lafaz Allah itu nama bagi dzat Tuhan kita yang waijb al wujud. Khas pada lafaz dan makna. Khaz pada lafaz bermaksud, tertentu atau terkhusus lafaz Allah itu nama bagi Tuhan kita dan tiada harus di namakan dengan dia akan yang lain dari dzat Allahmelainkan atas jalan idhafa’, sandaran seperti Abdullah. Dan erti khas pada makna itu, iaitu maknanya معبود بحق iaitu yang disembah dengan sebenar-benarnya. Maka tertentulah makna yang demikian itu bagi Allah tiada dapat bagi yang lainnya. Dan lafaz Allah itu اسم الأعظم di sisi jumhur ulama’.
Kalimah inilah yang terbanyak disebut dalam al-Quran. Penggunaannya berulang-ulang sebanyak 2820 kali. Kali ini merupakan lafaz Islam yang termasyhur yang diucapkan setiap insan.

Lafaz Allah dari Tauhid Iktikadiah

Sebagaimana syarahan sebelum ini, kita iktikadkan bahawa lafaz Allah adalah nama bagi Dzat Tuhan kita yang Wajib al Wujud. Dan Dia Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya. Dari segi kefahaman dan iktikad, kita jelas. Maka kita mengakui  dengan tasdiq dalam hati Allah Rabbbuna, Allah Tuhan kami.

فَٱعۡلَمۡ أَنَّهُ ۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ
“Maka ketahuilah, tiada Tuhan melainkan Allah”(surah Muhammad:19)

Lafaz Allah dari Tauhid Syuhudiah

Allah adalah nama Tuhan. Akan tetapi malang manusia yang tiada merasai apa-apa tatkala ism(nama) Allah di sebut. Kita dalam kegembiraan sekiranya menyebut nama kekasih yang dicintai akan tetapi sebut nama Allah, tiada apa-apa istimewa. Kita telah menyekutukan Allah dengan kekasih yang fana’ di dalam ceruk syuhudiah(perasaan mata hati) kita. Betapa ramai manusia hanya terhenti kefahaman tauhid mereka di akal mereka sahaja akan tetapi tidak hudur(hadir) di hati mereka. Maka kerana itu lahir manusia yang hebat berbicara tentang Allah namun syirik kepada Allah. Kerana itu jua, lahir alim yang petah mengajar tentang Allah, namun hati mereka sendiri tidak yakin dengan Allah, akhirnya jadilah alim yang  terkena virus mudhanah yakni tidak menyampaikan amar makruf nahi mungkar kerana takut kehilangan material, dilucutkan jawatan dari jabatan dan terbuai dengan keuntungan yang diperoleh dari orang yang menjalankan kemungkaran dan fasiq. Bukankah mereka mengetahui Allah Maha Pemberi Rezeki? Namun kefahaman itu tidak dalam jiwanya. Ramai sekali yang beragama akan tetapi  jiwa mereka tiada agama. Ingatlah, orang beriman gementar hati mereka apabila disebutkan nama Allah…Alllah …Alllah(hadirkan lafaz Allah di hati kalian tatkala membaca tulisan ini) sebagaimana Firman Allah:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ 

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu  ialah mereka yang apabila disebut nama Allah  gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.(Surah Al Anfal:2)

Inilah perjalanan dalam kesufian. Bukan mengejar kehebatan, bukan ketaksuban, bukan untuk berbangga tarekah siapakah yang paling hebat akan tetapi menuju penghalusan tauhid supaya membara di jiwa dalam makrifah kepada Allah SWT. Ayuh perbanyakkan zikir  “Allah…Allah..Allah..” di hati dan seeloknya bersanad. Inilah zikir orang hakikat.   Dalam kitab Kasyful Asrar, Syeikh Muhammad Salleh Bin Abdullah Menangkabawi berkata:

Dan bermula zikirلا إله إلا الله  terlebih afdhal daripada orang mubtadi’, kerana menafikan syak sangka yang batil itu, kerana ada disangkanya berdiri sifat ketuhanan kepada makhluk, syak sangka itulah yang dinafikan dengan kalimah لا إله dan di istbatkan sifat ketuhanan itu kepada kalimah  إلا الله supaya hilang syak sangka yang batil itu.
Dan adapun zikir الله الله itu terlebih afdhal kepada maqam orang hakikat hanya kerana tiada syak sangka sekali kali berdiri sifat ketuhanan itu kepada makhluk, hanya di pandangnya tiada maujud di dalam alam hanya ingat akan dzat semata-mata yang ليس كمسله شيء (yang tiada umpamanya jua)
Dalam bermula orang maqam hakikat itu tiada berkehendak mengata kalimah لا إله إلا الله  kerana bahwasanya Allah Taala hadir dalam hatinya sentiasa, malu menyebut dia”

Lafaz Ar Rahman, الرحمن

Rahman nama bagi sifat, khas pada lafaz dan am pada pada maknanya. Di katakan khas [ada lafaz kerana lafaz ar rahman itu tertentu di sifatkan dengan ia bagi Allah Taala dan tidak harus dikatakan bagi yang lain dengan rahman. Dan sebab dikatakan am pada makna rahman itu pemurah, maka melengkpai kemurahan Allah menyeluruh segala makhluk berakal atau tidak, islam atau kafir.

Berkata Syeikh Ahmad Showiy:

الرحمن المنعم بجميع النعم كما و كيفا و دنيوية و أخروية ظاهرية و باطنية  
"Ar Rahman adalah dzat yang memberikan berbagai nikmat, nisbah jumlah, nisbah kaifiat, nisbah duniawi, nisbah ukhrawi nisbah zahiriah dan nisbah batiniyah"(Syaikh Nawawi menaqalkan perkataan Syeikh Ahmad Showiy dalam kitabnya, Syarah Nur Zalam alal manzhumati al mussama bi aqidatil awam.)

Lafaz Ar Rahim الرحيم

Rahim itu nama bagi sifat , am pada lafaznya, ertinya harus di namakan dengan ia akan selain dari Allah. Khas pada makna beerti kerana tertentu mengasihani Allah akan kaum yang beriman jua pada hari akhirat.  

Berkata Syeikh Ahmad Showiy lagi:

الرحيم هو المنعم بدقائق النعم كما و كيفا و دنيوية و أخروية ظاهرية و باطنية
“Ar Rahim adalah zat pemberi nikmat-nikmat yang halus, nisbah jumlah, nisbah kaifiat, nisbah ukhrawi nisbah zahiriah dan batiniah”

Nikmat-nikmat yang halus adalah cabang dari nikmat yang pokok, iaitu nikmat-nikmat yang agung seperti bertambahnya iman, ilmu, makrifah, taufiq dan seumpamanya.

(intaha, Tamat untuk hari ini.)Insya Allah ada sambungan terjemahan matan aqidah al awam ini sehingga tamat harapnya. 

No comments:

Post a Comment