Saturday, 8 October 2011

Wartawan hiburan tempelak artis komen Hudud

Akhirnya ‘menjerat’ leher sendiri.....

SEPERTI yang saya duga, pandangan beberapa artis mengenai hukum hudud dalam sebuah akhbar awal minggu lalu menerima kritikan pedas.
Wartawan akhbar berkenaan bertanya kepada artis mengenai hukum hudud yang kini menjadi isu berbangkit di negara ini. Lalu beberapa artis tanpa ‘segan-silu’ atau berfikir panjang telah memberikan pelbagai pandangan.
Kebanyakkan pendangan menyatakan bahawa hukum hudud itu tidak wajar dilaksanakan di Malaysia buat masa ini. Ada juga yang memberi pendapat seolah-
olah undang-undang hudud tidak sesuai pada zaman moden dan inilah yang mendorong kepada kritikan masyarakat peminat terhadap artis-artis ini.
Tanya mereka, bagaimana seorang artis yang kurang arif dalam hal-hal berkaitan agama, boleh memberi komen dengan sebegitu mudah? Apakah mereka sedar apa yang mereka katakan itu?
Perlu diingat, itu adalah pendapat peminat mereka setelah melihat pandangan yang diberikan si artis, bukan saya yang kata. Dan setelah membaca pandangan mereka, tidak dinafikan artis-artis ini sendiri tidak begitu arif tentang apa yang disoal oleh wartawan berkenaan.
Bukan saya hendak katakan golongan artis tidak layak bercakap soal agama. Tetapi kalau hendak memberi pandangan sekalipun biarlah dalam hal-hal yang kita menjadi ahli. Agak- agaklah sikit, janganlah main redah saja, buruk padahnya.
Maka, bila kita menjawab sesuatu yang kita kurang arif, kurang tahu atau langsung tak tahu, ia adalah ibarat kita ‘menjerat leher’ sendiri. KENYATAAN MEREKA



Natijahnya, banyak yang marah, terutamanya kepada pelakon Enot yang memberi kenyataan yang luar dugaan sama sekali. Sampaikan Enot sendiri mengaku, dia jatuh dan terduduk gara-
gara dikritik hebat selepas memberi kenyataan di akhbar tersebut. Ini belum lagi nama ibubapanya juga dipersalahkan, gara-gara sikap kurang arif Enot itu.
Bukan Enot seorang sebenarnya, tetapi pandangan artis lain baik muda dan tua yang ditulis memang boleh mengundang ‘ bahaya’ kepada diri mereka sendiri.
Sebab itu, jalan paling selamat kalau kita tak tahu, atau kurang arif ialah ‘tiada komen’.
Kalau dalam bab lain, boleh pula artis kita beri jawapan ‘no comment’ kenapa dalam hal agama dan tambahan sensitif seperti ini sibuk pula hendak menunjuk pandai?
Ada juga yang kata, apa salahnya untuk si artis berkenaan memberi komen? Bukankah ini negara demokrasi, sesiapa saja boleh memberi sebarang komen, selagi ia tidak mencemar undang-undang.
Itu juga ada benarnya. Bagaimanapun dalam hal berkaitan dengan isu sensitif seperti ini, lebih baik diam daripada bercakap. Pergilah bertanya kepada pihak yang lebih layak kerana ini isu berkaitan dengan hukum hakam agama.
Beritahu saja si wartawan, “Maaf, saya tak berani hendak komen sebab saya kurang arif. ”
Semudah itu dan wartawan akan faham. Bagaimanapun dalam soal ini, wartawan pun perlu juga ada sensitiviti. Janganlah semberono bertanya isu-isu yang tak ada kaitan dengan si artis.
Bertanya artis akan hal-hal yang sepatutnya ditanya kepada ahli agama, apalah sangat jawapan yang kita boleh dapat?
Jadi, wartawan perlulah selalu buat pertimbangan kendiri, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh. Jangan mudah hendak ‘scoop’ atau terkehadapan dalam pemberitaan, sampaikan kita melupakan hal-hal yang menyentuh sensitiviti orang lain. Perlulah sentiasa peka dan berfikir jauh ke depan sebelum menulis.
Ingatan ini juga saya tujukan buat diri sendiri dalam meneruskan kerjaya sebagai orang media.
Kerana sesungguhnya, bercakap tentang hal yang tidak kita arif bukan sahaja menunjukkan ‘kekurangan’ diri, tetapi juga memberi banyak impak lain yang tidak kita sedari.
Saya sama pendapat dengan pelakon Wardina Saffiyyah. Dalam blognya, Wardina ada menulis begini :

“Nak minta para artis jangan komen kepada perkara yang kita TIADA ilmu seperti hukum hudud. Para wartawan juga tidak seharusnya menyoal.”

Dalam banyak keadaan, saya selalu bersetuju dengan pendapat ‘senyum tak perlu kata apa-apa’ dan ‘diam itu lebih baik.’ Jumpa lagi! Rujukan Tulisan: Katarsis Kualong

No comments:

Post a Comment